Monday, May 13, 2019

Citizens juara! Reds kempunan lagi


Manchester City akhirnya mengesahkan kejuaraan apabila membenam Brighton 4-1 di Stadium Amex, sebentar tadi. 

Sementara itu, walaupun menang 2-0 terhadap Wolves, penantian 29 tahun Liverpool untuk menjulang trofi EPL tidak kesampaian dan sekadar menduduki tempat kedua. 

Chelsea pula walaupun seri 0-0 dengan Leicester City, mereka mengekalkan kedudukan di tempat ketiga manakala Tottenham Hotspur yang seri 2-2 dengan Everton di tempat keempat.

Arsenal atau The Gooners pula mengakhiri musim ini di tempat kelima dengan memenangi aksi terakhir 3-1 bertemu Burnley. 

Manchester United pula terus malang apabila tewas 0-2 di tempat sendiri kepada Cardiff City namun kekal di tempat ke-6 musim ini. 

Sunday, May 12, 2019

Rakyat Sandakan lebih bos, Bosku...

Selepas tiga kemunculan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan keputusan 'hatrik' sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhirnya terpaksa akur dengan keputusan rakyat di Sandakan apabila bukan saja gagal menambah undi buat calon PBS yang disokongnya, malah kalah dengan majoriti lebih tinggi berbanding sebelum ini. 

Calon DAP, Vivian Wong Shir Yee, menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan dengan majoriti 11,521 selepas memperoleh 16,012 undi bagi menewaskan calon PBS, Datuk Linda Tsen Thau Lin (4,491 undi).

Najib yang kini popular dengan panggilan Bosku hadir ke Sandakan pada Jumaat untuk bertemu peminatnya dan seperti sebelum ini, beliau begitu yakin akan mendapat sambutan hangat apabila membuat 'live' menerusi Page FB beliau. 

Malah, pelbagai kata-kata sindiran kepada Pakatan Harapan (PH) terus dilontarkan pada setiap 'post' beliau di FB.

Bagaimanapun, populariti Najib akhirnya tercalar di Sandakan walaupun kehadiran beliau disambut dengan laungan bosku.. bosku.. oleh ratusan pengikutnya. 

Kemenangan Vivian pada PRK ini juga menyaksikan peralihan undi di kawasan majoriti Islam dan ini sekali gus menepis anggapan sesetengah pihak yang mengatakan hanya orang Cina akan mengundi DAP. 

Menurut laporan yang disiarkan portal berita Malaysiakini, terdapat kemungkinan besar peralihan sokongan daripada pengundi bumiputera Islam kepada DAP. 

Di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sim Sim sebanyak 12 peratus undi beralih kepada DAP, manakala 13 peratus sokongan beralih ke parti itu di Pulau Berhala. 

Kedua-dua PDM yang dimenangi BN pada PRU14 ini merupakan kawasan dengan pengundi majoriti beragama Islam.

DAP jelas meraih sokongan undi awal dan undi pos dengan memperolehi 70.2 peratus undi pos, peningkatan daripada 19.44 peratus pada pilihan raya umum 2018 lalu. Sementara itu, DAP juga mendapat 39.9 peratus undi awal, naik daripada 22.22 peratus pada PRU14 lalu.

Peralihan sokongan ini juga dikatakan hasil usaha Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal yang bekerja kuat turun berkempen di kawasan majoriti bumiputera Islam itu. 

Saturday, May 11, 2019

PRK Sandakan - 32% keluar mengundi setakat 12 tengah hari


Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan setakat jam 12 tengah hari tadi ialah sebanyak 32 peratus. 

Pengundian bermula sebaik sahaja 19 pusat mengundi membabitkan 90 saluran dibuka pada 7.30 pagi tadi. 

Proses mengundi yang berlangsung selama sembilan jam setengah itu membabitkan seramai 39,684 pengundi biasa yang layak mengundi sebelum proses pengundian ditutup pada 5 petang ini.

Pada 7 Mei lepas, 75 peratus daripada 270 pengundi awal terdiri daripada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Pemilih berdaftar di Parlimen Sandakan terdiri daripada 51 peratus pengundi Cina dan 45 peratus pengundi Bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain.

Sebanyak 49.48 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi adalah lelaki, manakala pengundi wanita merangkumi 50.52 peratus.

PRK Parlimen Sandakan adalah PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei tahun lepas, dengan yang pertama diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan), DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau (13 April).

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong Shir Yee, yang menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu. 

Citizens atau Reds?

Aksi terakhir EPL musim 2018/2019, malam esok, bakal menjadi tumpuan dan pastinya penentuan kejuaraan antara Manchester City dan Liverpool adalah fokus utama. 

The Citizens merampas semula takhta liga awal pagi tadi selepas menang tipis 1-0 terhadap Leicester City sekali gus terus memberi keresahan kepada penyokong Liverpool yang telah menanti selama 29 tahun untuk kembali melihat pasukan kesayangan mereka menjulang piala EPL. 

Pada perlawanan terakhir nanti, skuad Pep Guardiola hanya memerlukan kemenangan terhadap Brighton bagi mengesahkan kejuaraan manakala The Reds, selain wajib menang terhadap Wolves, mereka terpaksa mengharap Manchester City tercicir mata di Stadium Amex. 

Penentuan kejuaraan yang sengit ini boleh dikatakan mengulangi penentuan antara dua jiran iaitu Manchester United dengan Manchester City pada musim 2011/2012 di mana ketika itu jaringan pada minit ke-93 perlawanan oleh Sergio Aguero meranapkan impian The Red Devils menjadi juara.

Malam esok bermula jam 10 malam nanti pastinya menjadi debaran buat penyokong The Citizens dan juga The Reds, mampukah Aguero dan rakan-rakan mengulangi pencapaian mereka pada 2012 dan 2014? atau tahun ini menjadi milik Moh. Salah dan rakan sepermainannya?

Selain penentuan juara, turut menarik untuk disaksikan nanti ialah penentuan bagi merebut dua lagi slot untuk beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) antara Tottenham Hotspurs (Spurs) dan Arsenal.

Akan tetapi, penentuan kali ini dilihat agak berat sebelah kerana Spurs hanya memerlukan keputusan seri pada aksi terakhir bertemu Everton bagi mengiringi Chelsea ke UCL manakala Arsenal perlu menang terhadap Burnley dengan sekurang-kurangnya kelebihan 9 gol.

Bagaimanapun, The Gooners masih memiliki 'talian hayat' untuk layak ke UCL seandainya mereka muncul juara saingan UEFA Europa League seperti mana dilakukan juara EPL 20 kali, Manchester United pada 2017.

Bagi Manchester United pula, kedudukan paling jauh yang boleh dicapai mereka adalah di tempat kelima namun harus menang terhadap Cardiff City selain berharap Arsenal tergelincir pada aksi terakhir.

Memang diakui prestasi The Red Devils pada musim ini agak mengecewakan, perubahan drastik perlu dilakukan Ole Gunnar Solskjaer pada musim baharu nanti sekiranya tidak mahu menjadi pasukan yang hanya berbangga dengan sejarah kejayaan silam.

OK, berbalik kepada saingan EPL, antara yang lazimnya menarik untuk disaksikan pada aksi terakhir setiap musim ialah penentuan pasukan di 'Zon Penyingkiran'.

Akan tetapi tiada apa yang perlu difokuskan lagi di zon berkenaan kerana Huddersfield dan Fulham awal-awal lagi sudah menempah tempat untuk diturunkan pangkat ke Divisyen 1 manakala pasukan 'milik Malaysia', Cardiff City menyusuli dua pasukan itu pada penghujung minggu lalu.

PRK Sandakan - Vivian atau Linda?

Selepas 15 hari berkempen, ke hulu dan ke hilir, masuk dan keluar kampung, hari ini adalah penentuan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan.

Sebarang keputusan yang akan diumumkan malam nanti mungkin tidak akan mengubah kedudukan kerajaan dalam pemerintahan mereka ketika ini, namun, hanya kemenangan yang mampu mengubati kekecewaan mereka yang kecundang dalam tiga PRK di Semenanjung Malaysia, baru-baru ini.

Walaupun ada lima calon yang bertanding dalam PRK kali ini, dijangkakan pertembungan hanya tertumpu kepada calon dari DAP, Vivian Wong serta wakil PBS, Linda Tsen.


Di hari terakhir kempen, kelmarin, kedua-dua pihak melakukan 'serangan habis-habisan' di mana bagi pihak Vivian, berduyun-duyun menteri sama ada dari kerajaan negeri dan persekutuan datang ke Sandakan untuk berceramah secara besar-besaran.


'Serangan saat akhir' pihak Linda juga tidak kurang hebatnya apabila bekas perdana menteri yang kini 'berpangkat' Bossku, Datuk Seri Najib Razak terbang ke Sandakan untuk 'shopping' di pasaraya Giant sebelum membuat ceramah pada sebelah malam.

Siapakah yang menjadi pilihan rakyat Sandakan esok? Adakah gadis muda daripada DAP, Vivian yang bertekad untuk menyambung legasi bapanya atau ahli politik berpengalaman, Linda, yang pastinya mahu menebus kekecewaan selepas kehilangan kerusi parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum yang lalu.

Sebanyak 19 Pusat Mengundi dan 90 saluran akan dibuka pagi ini dengan seramai 39,684 pengundi berdaftar yang layak mengundi.