Selepas 15 hari berkempen, ke hulu dan ke hilir, masuk dan keluar kampung, hari ini adalah penentuan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan.
Sebarang keputusan yang akan diumumkan malam nanti mungkin tidak akan mengubah kedudukan kerajaan dalam pemerintahan mereka ketika ini, namun, hanya kemenangan yang mampu mengubati kekecewaan mereka yang kecundang dalam tiga PRK di Semenanjung Malaysia, baru-baru ini.
Walaupun ada lima calon yang bertanding dalam PRK kali ini, dijangkakan pertembungan hanya tertumpu kepada calon dari DAP, Vivian Wong serta wakil PBS, Linda Tsen.
Di hari terakhir kempen, kelmarin, kedua-dua pihak melakukan 'serangan habis-habisan' di mana bagi pihak Vivian, berduyun-duyun menteri sama ada dari kerajaan negeri dan persekutuan datang ke Sandakan untuk berceramah secara besar-besaran.
'Serangan saat akhir' pihak Linda juga tidak kurang hebatnya apabila bekas perdana menteri yang kini 'berpangkat' Bossku, Datuk Seri Najib Razak terbang ke Sandakan untuk 'shopping' di pasaraya Giant sebelum membuat ceramah pada sebelah malam.
Siapakah yang menjadi pilihan rakyat Sandakan esok? Adakah gadis muda daripada DAP, Vivian yang bertekad untuk menyambung legasi bapanya atau ahli politik berpengalaman, Linda, yang pastinya mahu menebus kekecewaan selepas kehilangan kerusi parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum yang lalu.
Sebanyak 19 Pusat Mengundi dan 90 saluran akan dibuka pagi ini dengan seramai 39,684 pengundi berdaftar yang layak mengundi.


No comments:
Post a Comment