Sunday, May 12, 2019

Rakyat Sandakan lebih bos, Bosku...

Selepas tiga kemunculan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan keputusan 'hatrik' sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhirnya terpaksa akur dengan keputusan rakyat di Sandakan apabila bukan saja gagal menambah undi buat calon PBS yang disokongnya, malah kalah dengan majoriti lebih tinggi berbanding sebelum ini. 

Calon DAP, Vivian Wong Shir Yee, menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan dengan majoriti 11,521 selepas memperoleh 16,012 undi bagi menewaskan calon PBS, Datuk Linda Tsen Thau Lin (4,491 undi).

Najib yang kini popular dengan panggilan Bosku hadir ke Sandakan pada Jumaat untuk bertemu peminatnya dan seperti sebelum ini, beliau begitu yakin akan mendapat sambutan hangat apabila membuat 'live' menerusi Page FB beliau. 

Malah, pelbagai kata-kata sindiran kepada Pakatan Harapan (PH) terus dilontarkan pada setiap 'post' beliau di FB.

Bagaimanapun, populariti Najib akhirnya tercalar di Sandakan walaupun kehadiran beliau disambut dengan laungan bosku.. bosku.. oleh ratusan pengikutnya. 

Kemenangan Vivian pada PRK ini juga menyaksikan peralihan undi di kawasan majoriti Islam dan ini sekali gus menepis anggapan sesetengah pihak yang mengatakan hanya orang Cina akan mengundi DAP. 

Menurut laporan yang disiarkan portal berita Malaysiakini, terdapat kemungkinan besar peralihan sokongan daripada pengundi bumiputera Islam kepada DAP. 

Di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sim Sim sebanyak 12 peratus undi beralih kepada DAP, manakala 13 peratus sokongan beralih ke parti itu di Pulau Berhala. 

Kedua-dua PDM yang dimenangi BN pada PRU14 ini merupakan kawasan dengan pengundi majoriti beragama Islam.

DAP jelas meraih sokongan undi awal dan undi pos dengan memperolehi 70.2 peratus undi pos, peningkatan daripada 19.44 peratus pada pilihan raya umum 2018 lalu. Sementara itu, DAP juga mendapat 39.9 peratus undi awal, naik daripada 22.22 peratus pada PRU14 lalu.

Peralihan sokongan ini juga dikatakan hasil usaha Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal yang bekerja kuat turun berkempen di kawasan majoriti bumiputera Islam itu. 

No comments:

Post a Comment